Sudirman Haji Arshad dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di no. 48, Jalan Ibrahim, Temerloh, Pahang. Anak kepada Puan Hajjah Romlah binti Dahalan dan Haji Arshad bin Haji Hassan.
Di zaman persekolahan, ibunya seorang wanita yang aktif di arena politik sebagai Ketua Wanita UMNO Pahang Selatan dan Wakil Rakyat Pertama 1955 mewakili Kawasan Temerloh, telah meninggal dunia pada tahun 1959 di usia muda 32 tahun (ketika Sudirman berumur 5 tahun) setelah mengidap penyakit kanser. Bapanya adalah pengurus Syarikat Bas Temerloh (Temerloh Bus Company), juga seorang ahli politik UMNO di Temerloh, Pahang. Bapanya telah berkahwin dengan Puan Mariam binti Mohammad setelah kematian isterinya, sebelum meninggal dunia pada 1978.
Sudirman adalah anak bongsu, adik beradik yang lain - Zainuddin, Rudiah, Basir, Roslan dan Roaini. Dari sejak kecil, Sudirman sering menyanyi di mana sahaja. Di sekolah pula, beliau memasuki pertandingan bersyair, berpidato, berpantun, kuiz dan terlibat dalam persembahan teater dan koir sekolah. Dia suka bersukan, senang berpidato dan setiap waktu di perpustakaan.
Di zaman persekolahan
Sudirman memulakan persekolahnya pada tahun 1961 di Sekolah Rendah Abu Bakar (Mentakab), Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia (Temerloh) dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (Kuantan), Pahang sehingga beliau menamatkan Tingkatan 6. Sebelum memasuki Tingkatan 6, Sudirman menjalani kursus persediaan di ITM Petaling Jaya. Beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negeri tetapi dia menolak tawaran itu.
Pada tahun 1976, beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (Kuala Lumpur). Di sebalik kepadatan jadual dalam bidang seni, beliau masih dapat membahagi masanya dengan baik di antara menyanyi dan kelas tutorial di Universiti Malaya. Pada tahun 1980 beliau telah menerima Ijazah undang-undang (LL.B) dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga. Tahun 1983, Sudirman menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai Peguam pada tahun 1984. Bagaimanapun, Sudirman meninggalkan bidang guaman kerana memilih bidang seni sebagai kerjayanya.
The Singing Lawyer
Bintang RTM 1976Sudirman Haji Arshad mula mencipta namanya sebagai penyanyi apabila dia berjaya merebut gelaran Johan Bintang RTM peringkat akhir yang diadakan di Melaka pada 11 Ogos 1976. Beliau mendendangkan lagu Seruling Bambu dan Big Spender. Di peringkat awal saringan, beliau memberi jawapan spontan "seluar pinjam..." apabila disoal oleh pengacara rancangan mengenai seluar besar yang dipakainya. Para penonton suka caranya yang berterus terang. Beliau mendendangkan lagu Jali Jali, sebuah lagu klasik dari Indonesia. Jelas sekali suaranya memang unik.
Selepas Bintang RTM, tahun 1977, Sudirman mula merakamkan suara dalam album EP sulungnya Teriring Doa bersama Warnada Rekod. Walaupun ketika itu sibuk dengan kuliahnya di Universiti Malaya, beliau sempat merakam lagu-lagu untuk dimuatkan dalam EP pertamanya, diantaranya lagu Teriring Doa dan Suratku Yang Ini.
Tahun 1978, EMI menawarkan kontrak kepada Sudirman. Album sulungnya dengan EMI berjudul Aku Penghiburmu. Beliau menyanyikan semula lagu Jali Jali yang telah memperkenalkannya kepada umum, termasuk dua lagu ciptaan Ahmad Nawab Aku Penghiburmu dan Kasih. Kedua-dua lagu ini juga dinyanyikan oleh Broery Marantika apabila Ahmad Nawab berhijrah ke WEA. Dalam tahun itu, Sudirman dipilih sebagai Penghibur TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa.
Tahun 1979, album Perasaan diterbitkan dengan lagu hit Gerimis di Lautan bersama lagu-lagu lucu Mat Disko dan Toyol.
Setelah menamatkan pengajiannya, Sudirman bebas mengembangkan karier seninya. Beliau yang bangga dengan imej budak kampung, menyanyikan lagu-lagu yang berkait rapat dengan masyarakat Malaysian.
Istimewanya Sudirman kerana bermula tahun 1980, beliau telah menerbitkan 2 buah album dalam setahun. Kesemua albumnya berjaya dan kebanyakkan lagu-lagunya menjadi hit. Tidak semua artis pada zaman Sudirman dan zaman sekarang mampu berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan