Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, pada 14 Februari 1981, Sudirman menamatkan zaman bujangnya apabila berkahwin bersama kekasih pilihan hati yang telah dikenali sejak kecil Kamariah “Kay” Jamaluddin, seorang gadis yang bekerja di Petronas.
Para peminat menyambut berita itu dengan gembira. Bagaimanapun, perkahwinan itu cuma bertahan selama tiga tahun sahaja. Ia berakhir dengan penceraian pada 25 Mei 1984 kerana tidak wujud lagi persefahaman antara mereka. Pasangan itu tidak mempunyai anak.
Sahabat baik Sudirman, Noorkumalasari pernah berkata, suasana malam di rumah Sudirman sangat sayu menjelang perpisahan antara mereka. “Apabila cerai dilafazkan mereka bertangisan. Air mata tidak dapat dibendung,” kata Noor yang menyaksikan sendiri perceraian Sudirman dan Kay.
Dalam majalah Utusan Filem dan Fesyen (UFF) dalam kolum Masih Kuingat Lagi, Sudirman menulis, dua perkara yang sangat memilukan hatinya. Pertama, kehilangan ibu pada usia yang sangat muda. Keduanya, perkahwinannya yang gagal.
Sudirman merakamkan kedukaannya melalui pahit getir penceraian menerusi lagunya Terasing dan Merisik Khabar, malah beliau turut mencipta lagu Setiamu Tiada Lagi dendangan Ibnor Riza. Setelah bercerai, Sudirman menumpukan seluruh tenaga kepada kariernya termasuk menulis, melukis, dan menubuhkan syarikatnya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan