Memaparkan catatan dengan label Ringkasan Novel. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ringkasan Novel. Papar semua catatan

Jumaat, 9 April 2010

Novel :- Kudamba Bahagia

Penulis :- DHIYA ZAFIRA
Penerbit :- ALAF 21
Jumlah Muka Surat :- 486 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-
Dia begitu dambakan bahagia. Setiap saat dan detik yang berlaku dalam hidupnya adalah satu perjalanan yang penuh makna. Dia melihat kehidupan ini dengan penuh warna-warna indah dan keceriaan. Namun, kejadian yang menimpa benar-benar mengujinya.

Alia tidak tahu apakah itu cinta. Pertama kali bertentangan dengan Adnan Taufik, dia berasa gundah. Apa yang ada pada lelaki itu hingga menganggu lenanya? Apakah benar wujudnya cinta pandang pertama? Dia sendiri meraguinya. Namun, dia terpaksa terima kenyataan. Cintanya berputik saat senyuman indah itu terukir buatnya.

Adnan Taufik tidak menyangka. Mencintai Alia akan mengheretnya kelembah penderitaan. Entah mengapa, cinta yang lahir dari kesucian dan keikhlasan hati akhirnya terkubur jua. Sesungguhnya, cinta mereka tidak kuat untuk menahan gelombang yang melanda.

Bagi Alia, dia tidak mengerti mengapa tiba-tiba Adnan Taufik pergi dari sisinya. Sedangkan ketika itu dirinya dibaluti bahagia. Salah faham yang berlaku menyebabkan mereka menyimpan dendam yang bukan sedikit.

Komen :-
Waktu baca buku nie…..tak tahu nak letakkan salah pada sapa…Apa yg pasti…samada Alia atau Taufik terlalu ego dan bertindak terburu2 dalam membuat keputusan. Terlalu cepat membuat andaian tanpa mendapat kepastian…

Bapa Alia pula….terlalu sukar untuk mempercayai orang lain…hingga menyebabkan Alia tersepit antara suami tercinta dan bapa yg dikasihi.

Jalan cerita..yg kadang2 buat saya sendiri rasa tak puas hati…marah dan geram…sedih tatkala Alia kehilangan kedua org tuanya. Pengakhiran cerita yg amat menarik dan berasa puas hati…

http://violet-azure.blogspot.com/
dhiya_zafira@yahoo.com

Rabu, 7 April 2010

Novel :- Kenangan Terindah

Penulis :- HEZZY AZIRA
Penerbit :- ALAF 21
Jumlah Muka Surat :- 520 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-
Sanggup berkorban tanda cinta, tetapi Marisa tidak rela mempersiakan usia muda untuk berkahwin dengan Ridwan. Apatah lagi selepas itu terpaksa berpisah kerana Ridwan. Apatah lagi selepas itu terpaksa berpisah kerana Ridwan ingin melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bukan bermakna cintanya tiada harga. Dia tahu, Ridwan keliru dalam mengukur sejauh mana cintanya. Mustahil Ridwan tergamak membiarkan diri berpaut pada yang lain, menabur duri pada cintanya. Namun, hati lelaki sememangnya sukar dijaga. Kesetiannya pedih dicalar luka.

Kemudian, dugaan membadai lagi. Ayah tercinta pula pergi buat selamanya. Tanggungjawab pada keluarga dan syarikat digalas di usia muda. Kesabarannya berbalas, TUHAN hadirkan seorang insan untuk menghapuskan air mata, merawat lukanya dan berada di sisi….ketika suka dan duka.

Masa berlalu….Ridwan kembali menagih cinta. Hati Marisa tidak pernah keliru, cintanya terhadap si dia semakin menebal. Namun, dirahsiakan nama si dia daripada pengetahuan Ridwan, tidak mahu lelaki itu tersalah anggap. Ketika rahsia tersingkap, dapatkah Ridwan menerima kenyataan yang dia kenal insan itu?

Pinjam : 17/02/2010
Abis Baca : 24/02/2010
Tempoh bacaan : 6 Hari (tolak sabtu dan ahad)

Excited…tak sabar nak tahu ending cerita ini….Jalan cerita yg menarik dan terasa diri dekat dgn watak2 dlm penulisan ini. Harap ada kesinambunagan cerita ini….

hezzy_azra@yahoo.com
hezzy-azra.blogspot.com

Isnin, 5 April 2010

Novel : Laman Rindu


Penulis :- HASREEYATI RAMLI
Penerbit :- ALAF 21
Jumlah Muka Surat :- 471 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-

Sekian lama menyulam kasih, cinta yang kian mekar diikat dengan tali pertunangan. Sejak itu, Asnida tidak sabar menantikan hari bahagianya bersama Zamarul.
Tanpa diduga, istana yang bakal dibina tiba-tiba dilanda petaka. Dia kecewa apabila Zamarul berterus-terang telah menikahi Milia, bekas kekasihnya secara rahsia.

Asnida rasa tertipu dengan kecurangan Zamarul. Dia menghadapi tekanan emosi dan sering merindui musim cinta mereka yang kini tinggal memori duka. Dia cuba membenci Zamarul dan minta pertunangan mereka diputuskan, tetapi Zamarul tetap bertegas mahu meneruskan perkahwinan mereka.

Kehadiran Helmy telah mengisi ruang kosong di hati Asnida. Helmy, lelaki yang menghargai kesetian seorang wanita. Helmy juga telah mengubati kelukaannya dengan kata-kata semangat. Dalam diam, dia merindui lelaki itu biarpun hatinya sering menidakkan kerana dia masih tunangan orang.

Hubungan Asnida dan Helmy telah menjeruk perasaan Zamarul. Dia bersemuka dengan Helmy dan memberikan kata putus yang Asnida tetap akan menjadi miliknya biar apa pun halangannya.

Asnida pasrah. Biarlah takdir yang menentukan jalan hidupnya

hasreeyatir@yahoo.com
rihas@kedah.uitm.edu.com

Selasa, 23 Mac 2010

Novel : Setulus Hati

Penulis :- ROZITA ABD. WAHAB
Penerbit :- ALAF 21
Jumlah Muka Surat :- 466 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-
Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengahari. Itulah yang dirasai oleh Zulaikha bila mahligai cintanya bersama Zamri musnah angkara orang kedua. Meski hatinya luluh terluka, namun demi anak-anak, dia bangkit semula daripada kekecewaan semalam untuk meneruskan hidup.

Pengalaman pahit yang dilalui membuatkan Zulaikha berusaha menghindari diri daripada terjebak dalam percintaan. Namun tanpa diduga, kehadiran Nik Azhan, lelaki yang pernah menyimpan perasaan padanya dulu kembali mengocak ketenangannya.

Nik Azhan berusaha untuk merebut kembali hati Zulaikha. Zulaikha sedar, lelaki itu tegar tidak mahu melepaskannya lagi buat kali kedua. Namun, mana mungkin…kerana hatinya benar-benar telah tertutup untuk menerima cinta baru. Dia sudah penat dikecewakan!

Kasih sayang dan perhatian yang diberikan Nik Azhan amat disenangi anak-anak Zulaikha yang dahagakan perhatian daripada seorang bapa. Setiap hari nama Nik Azhan meniti dibibir mereka sehingga mengusik hati Zulaikha. Perlukah dia memaksa diri menyukai lelaki itu demi kebahagian anak-anaknya? Dimanakah cinta Nik Azhan di sudut hatinya?

Komen :

Saya begitu teruja ingin menyudahkan pembacaan saya kali ini…kadang2 saya tertanya sendiri, mampukah saya menjadi sekuat, sesetia dan penyayang seperti Zulaikha.? Atau seperti Zaidi…yang sanggup membuat pengorbanan yg besar demi ketulusan kasih sayangnya.

Setiap watak yang dihasilkan seolah-olah hidup dan dapat dirasai apa yang digambarkan oleh penulis…SYABAS

Rabu, 17 Mac 2010

Novel :- SEINDAH GUBAHAN KASIH


Penulis :- MINA MAHANIE
Penerbit :- SYARIKAT FAJAR
Jumlah Muka Surat :- 416 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-
Lima tahun menghilangkan diri, akhirnya Syirah kembali. Namun, kepulangannya kali ini hanya seketika. Kemalangan ngeri telah meragut nyawanya itu telah mendorong Syirin, adik kembarnya, untuk mencari Erman, abang ipar yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini. Dia terpaksa mencari Erman untuk melunaskan hutang yang tertunggak.

Erman pula tidak pernah mencintai isteri yang dikahwininya itu. Dia hanya mengahwini Syirah atas agenda tersembunyi yang hanya diketahui oleh mereka berdua.

Apabila Syirin berjaya bertemu dengan Erman, Erman berazam untuk memenangi semula hati “isteri”nya itu supaya agendanya mencapai matlamat yang dipersetujui bersama.

Dapatkah Syirin melayari hari-hari yang mendatang sebagai bayangan kembarnya dalam mengubah jambangan kasihnya dengan Erman di Vila Impian? Sanggupkah Syirin menghadapi risiko tersingkapnya identity dia yang sebenar setelah hutangnya dilunaskan?

P/s :- Ayuh..dapatkan Seindah Gubahan Kasih untuk mengetahui sama ada perasaan sebenar antara Erman dan Syirin boleh dicampuradukkan dengan rancangan mereka tersendiri.

Rabu, 3 Februari 2010

Novel :- KUMOHON KASIH


Tajuk Novel :- KUMOHON KASIH
Penulis :- HAIZA NAJWA
Penerbit :- ALAF 21
Jumlah Muka Surat :- 535 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-

Azrul Rozaimy atau Roy….berdepan juga dengan Ayuni setelah lima tahun peristiwa dia terlanjur menodai gadis itu. Dia tidak menyangka Ayuni mengalami tekanan jiwa akibat peristiwa itu. Lebih menyedihkan apabila mengetahui bahawa keterlanjurannya menyebabkan Putra lahir ke dunia. Dengan menyamar sebagai Mi dan mengubah penampilan diri, dia mengahwini Ayuni.

Ayuni…sebenarnya waras. Kerana dendam terhadap Roy, dia mahu membalas setiap derita yang ditempuhi selama ini. Namun, dendam itu berbaur dengan rasa cinta yang sangat utuh di dalam hati. Hanya Roy yang ditunggu dan ingin ditemui.

Salwarani….mencintai Roy sejak kecik lagi. Impian jadi nyata apabila keluarga menjodohkan mereka. Mereka berkahwin tanpa kerelaan Roy, sekadar untuk mengeratkan silaturrahim keluarga. Semuanya tersingkap jua. Jiwanya bergelodak amarah. Tidak rela menjadi isteri kedua, tidak mahu ada orang ketiga.

Sudahnya, mereka tersepit dalam perangkap cinta. Roy hanya cintakan Ayuni dan ingin kecapi cinta mereka yang ternoda dulu. Ayuni terus memburu Roy tanpa menyedari bahawa kekasih yang dicari ada di depan mata. Salwarina tetap mahu memiliki Roy walaupun sedar tidak mungkin dapat menakluki cinta lelaki itu.

Isnin, 28 Disember 2009

Novel :- Gelora Asmara

                                
Penulis :- HARYANI KAMILAN
Penerbit :- BUKU PRIMA
Jumlah Muka Surat :- 514 HALAMAN
Harga :- RM18.90

Ringkasan Cerita :-
Tengku Ryan, si mata keranjang. Juga digelar playboy professional. Dengan rupanya yang kacak dan peninggalan pusaka yang banyak sudah cukup membuatkan dia digilai ramai wanita. Linda anak hartawan dan Nora gadis GRO adalah antara mangsa mainan perasaannya.

Sikap Ryan yang selalu leka dengan nikmat duniawi itu juga membuatkan Engku Zabedah dan Lokman cuba mengambil kesempatan untuk merampas segala hartanya. Dengki dan dendam telah lama bersarang dalam diri dua beranak itu.

Namun di suatu ketika, Ryan telah bertemu dengan Jelita, gadis ayu yang tidak mempercayai perkahwinan. Jelita telah menutup pintu hatinya untuk menerima mana-mana lelaki yang hadir dalam hidupnya. Bagi Jelita, lelaki hanya untuk menyakiti. Pengalaman ibunya, Puan Eliza, sedikit sebanyak mempengaruhi rasa hatinya. Kegagalan perkahwinan ibunya dulu telah menjadi punca Jelita meminggirkan soal rumah tangga.

Ryan terasa tercabar bila cintanya ditolak Jelita. Dia cuba sedaya yang mungkin untuk memikat Jelita. Dia mencuba sedaya yang mungkin untuk memikat Jelita. Tapi malang tidak berbau, suatu malam disebabkan Jelita, Ryan telah ditimpa kemalangan yang secara langsung telah mengubah kehidupannya.

Sejak itu, Jelita diserbu rasa bersalah dan sentiasa membantu Ryan untuk memperbaiki kesilapan yang pernah dilakukan dulu. Mungkinkah keakraban mereka itu bakal mewujudkan satu rasa cinta yang tulus dan ikhlas?

Sabtu, 12 Disember 2009

Tajuk Novel :- PAHITNYA MADU

Penulis :- NUR AIFA
Penerbit :- BUKU PRIMA
Jumlah Muka Surat :- 310 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-

Dunia diibarat seperti pentas sandiwara di mana para pelakonnya adalah manusia sejagat. Manusialah mencorakkan kehidupan mereka sama ada membawa kepada kebahagian ataupun kedukaan. Itu semua terpulanglah kepada individu itu sendiri. Begitulah juga yang terjadi kepada pasangan Razlan dan Serina.

Kasih Sayang yang dicurahkan antara Razlan dan Serina ibarat bulan dan bintang. Janji setia yang mereka lafazkan tetap kukuh umpama laut yang tenang. Akhirnya Serina bersetuju mengahwini Razlan walaupun dia tahu yang lelaki itu sudah pun beristeri. Dia berbuat demikian di atas sebab-sebab simpati kepada Razlan.

Pada mulanya, kehidupan rumah tangga Razlan dan Serina begitu menceriakan. Tiada apa yang bisa menjadi galang gantinya. Tapi entah di mana silapnya, bahtera kasih mula dilanda badai. Dalam diam, Razlan telah mengkhianati janji manis yang ditaburkan dan berkahwin lain.

Hancur luluh hati Serina bila mendapat tahu tentang hal itu. Dia tidak menyangka Razlan sanggup bermain kayu tiga walaupun setiap kehendak Razlan dipenuhi. Serina telah membawa diri. Pergaduhan tercetus antara isteri pertama, Rokiah dan ketiga, Anita. Masing-masing mahu merebut Razlan.
Razlan kebingungan. Tembelangnya sudah pecah. Tidak tahu apa yang harus dilakukan?
Ketiga-tiga isterinya amat disayangi.

Jumlah Bintang :- ****


Isnin, 23 November 2009

Novel :- Sebenarnya Cinta

Penulis :- HAIQAL FAHMY

Penerbit :- BUKU PRIMA

Jumlah Muka Surat :- 310 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-

Kisah cinta seorang anak hartawan Seri Anisah, yang berjawatan tinggi di syarikat milik ayahnya Dato’ Haji Shamsudin telah jatuh hati pada Azman, pekerjanya yang juga merupakan bekas rakan sekolahnya.

Perhubungan mereka dicemburui oleh Syafik, yang sememangnya menaruh hati terhadap Seri Anisah sejak di bangku sekolah ladi dan antara Azman dan Syafik pernah berlaku pergaduhan ekoran salah faham. Sehingga Syafik sanggup memutuskan persahatan mereka.

Pulangnya Syafik ke tanah air setelah berjaya mencapai cita-citanya cuba untuk menagih janji di saat cinta Azman dan Seri Anisah sedang mekar. Rafida, yang menggilai Syafik kecewa dengan sikap Syafik yang amat dingin terhadapnya. Rafida telah meranapkan impian Azman dan Seri Anisah di pertengahan jalan.

Seri Anisah terlalu kecewa dan Azman pulang ke desa tumpah darahnya kerana malu atas apa yang berlaku. Di desa halamannya, dia menemui cinta baru, Aisyah gadis kampung yang amat halus pekertinya.

Setelah mengetahui keadaan sebenar, Seri Anisah menyusuri cinta mereka, di saat Azman dan Aisyah sedang merancang masa depan untuk hidup bersama. Dia rela berkorban mencari semula cintanya yang hilang dan hakikat sebenarnya cinta.

Jumlah Bintang :- *****

Jumaat, 23 Oktober 2009

Novel :- TIKA RINDU BERLAGU

Penulis :- LILY SURIANI

Penerbit :- ALAF 21 SENDIRIAN BERHAD

Jumlah Muka Surat :- 492 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-

Kesungguhan Naim mempamer cinta membuatkan Adila mula melakar mimpi. Malamnya disinari kerlipan bintang. Siangnya pula sentiasa dihiasi pelangi. Kalaulah begini indah perasaan dilambung cinta, dari dulu lagi dilagukan rasa rindu. Biar bergema diseluruh alam.

Tiba-tiba mimpi yang indah itu hilang. Perginya tanpa meninggalkan sebarang jejak. Terpisah dengan Naim menjadikan Adila seperti tidak keruan. Dia mencari dan terus mencari hingga akhirnya lelah sendiri. Jiwanya kacau, fikirannya bercelaru.

Kemunculan semula Naim seakan terhenti putaran bumi. Sukar untuk Adila menerima hakikat yang namanya tiada dalam ingatan Naim. Namun, demi cinta yang harus dipertahankan, dia tidak akan sesekali mengalah. Sekali janji dilafazkan, dia rela dirinya diibaratkan perigi mencari timba.


Jumlah Bintang :- *****

Jumaat, 16 Oktober 2009

Novel :- GETARAN RINDU

Penulis :- NORZAILINA

Penerbit :- ALAF 21 SENDIRIAN BERHAD

Jumlah Muka Surat :- 580 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-

Perempuan…lirikan matanya ibarat sembilu menusuk dikalbu. Firasat senyumannya adalah kuntuman rindu. Dan sentuhan jari jemarinya yang hangat bisa mendebarkan jiwa setiap lelaki. Namun bagi Izham, gemersik suara Fara bagai menyeru-nyeru semangatnya yang hilang. Dia kembali ke alam reality. Merenung hari kelmarin yang pergi. Kemudian melontarkan prasangka bahawa cinta palsu mudah dibeli dan cinta setia sukar dicari.

Sejak itu, hidup lelaki ini terasa indah dan membahagiakan. Siang berganti malam dan hari berganti bulan. Namun…cinta yang semakin sarat tidak pernah menoktahkan erti jemu buat Izham. Sayangnya, Fara sentiasa mempersendakan ketulusannya hanya kerana godaan Delia yang jelita dan kemanjaan Sharifah yang sengaja mencari sengketa. Sedangkan di hari Izham, hanya wajah Fara yang menghiasi malam sepinya.

Dimanakah penghujung pertemuan mereka, bila Izham dikhabarkan hilang dalam perjalanan ke Venice? Dia terpaksa menghilangkan diri dan bersembunyi angkara perbuatan Suffian, kekasih Delia, yang cemburu buta! Sejak itu, mereka terpisah, tanpa suara dan tanpa kata-kata.

Dimanakah kau Izham? Fara terus menanti dengan sendu dan airmata. Mengharap agar cinta, kasih dan rindu mereka kembali bersatu seperti dulu.

Pengajaran :-

Seseorang kadangkala terpaksa mengambil keputusan yang akan mengubah kehidupannya dalam masa beberapa minit sahaja. Bila sudah menetapkan fikiran, tiada pilihan lain kecuali meneruskan kehidupannya. Disinilah terletaknya kewibawaan seseorg bilamana dia harus meneruskan hari-hari yang mendatang walaupun ia bukan pilihannya.


Jumlah Bintang :- ****

Rabu, 30 September 2009

Novel :- SEBENING RINDU




Penulis :- AZHAN KAMAL

Penerbit :- ALAF 21 SENDIRIAN BERHAD

Jumlah Muka Surat :- 366 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-

Perit rasa hati bila orang yang disayangi pergi jauh meninggalkan segala-galanya di muka bumi ini. Dimana Kasih sayang, rindu dan cinta bila kesemuanya tidak kesampaian? Tetapi, kenapa perasaan itu tidak mahu turut pergi sedangkan ada insan lain yang sudi bertapak dihati?

Nazatul….gadis pujaan dua jejaka. Antara Kamarul dan Faizal, dia hanya mendambakan cinta kepada yang satu. Namun, mampukah pemyakit yang ditanggungnya itu membahagiakan sidia?

Kamarul…cita-citanya untuk memiliki gadis itu terlalu tinggi. Namun, tuntutab tugas dan keluarga menggamit kesabarannya. Dia masih menggenggam satu harapan untuk memastikan cintanya tetap mekar.

Faizal….punya karisma yang tinggi dalam kerjaya. Status ‘metrosexual guy’ yang dipegangnya memungkinkan dia mendapat apa saja yang diingini. Perangai anehnya merentap jiwa insan yang amat menyayanginya.

Iryanti….gadis seberang yang tabah mengharungi liku-liku perjalanan kehidupannya. Mencintai dan dicintai itulah yang sangat diimpikan. Dia bersyukur masih ada yang sudi mengisi ruang dihatinya. Namun, mengapa saat-saat akhir hidupnya, baru dia merasai kebahagian itu?

Jumlah Bintang :- ****

Selasa, 15 September 2009

Novel :- BILA CINTA MEMBARA



Penulis :- MAZIA HARRIS

Penerbit :- ALAF 21 SENDIRIAN BERHAD

Jumlah Muka Surat :- 522 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-

Bila cinta membara, hati mula bergelora. Meskipun pada zahir tampak sempurna, namun pasti ada kekurangan. Atas dasar suka sama suka, Kamarul menjadikan Syamsidar, seorang model terkenal sebagai ratu hatinya. Dia menghamparkan segala kasih sayang kepada Syamsidar sehingga mereka dikurniakan dua permata hati.

Namun tanpa diduga, Syamsidar sanggup menduakan Kamarul yang setia dengan janjinya, Dia tertipu oleh janji manis Jeffry yang beria-ia menunjukkan keikhlasan dan tanggungjawabnya. Lelaki itu pandai bermain kata-kata sehingga Syamsidar lemas dalam tsunami ciptaan mereka.

Skandal rumahtangga yang selama ini tersimpan kukuh, akhirnya meletus. Ketika kemelut kian meruncing, Syamsidar terjaga dari mimpi panjangnya. Sandiwara cinta ini mesti dinoktahkan! Segala kenangan ini esti dikuburkan. Cukuplah…dia kini mahu kembali bernafas di alam reality.

Persoalannya…semudah itukah dia mendapat kemaafan daripada lelaki yang telah terluka hatinya? Mampukah kebahagiannya dikembalikan semula?…

Komen :-

Secebis kisah hidup masyarakat yang perlu dijadikan iktibar dengan penyampaian yang bersahaja, namun amat memuaskan cita rasa pembaca.

Pengajaran :-

Secebis kisah masyarakat yang tragis dan mengusik jiwa. Kisah cinta tiga segi yang mencetus rasa. Kisah cinta, kecurangan kekeluargaan, kasih sayang dan agama disusun merangkumi kesemuanya.

Jumlah Bintang :- ****

Jumaat, 11 September 2009

Novel :- KERANA TERLUKA






Penulis :- AIDA ADRIANI

Penerbit :- ALAF 21 SENDIRIAN BERHAD

Jumlah Muka Surat :- 522 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-

Nudra Haneem, hidupnya sering saja diduga. Bahagia baginya bagaikan bintang yang bertaburan di langit, indah tetapi tidak tergapai dek tangan. Sedari kecil hidup tanpa kasih sayang ibu dan ayah, sekadar menumpang kasih orang dan bila dewasa, kasih dan cintanya diuji lagi.

Kehadiran Iskandar memberikannya kebahagian di saat diri memerlukan perhatian. Namun, rahsia keluarga yang tersimpan sekian lama telah menguji kasih Iskandar padanya. Antara kasih ibu dan kasih kekasih, yang manakah harus dikorbankan? Demi maruah, demi agama, sanggupkah cinta jadi taruhan?

Bukankah cinta memerlukan pengorbanan? Tapi tidak selamanya hati teguh andai cinta terus terusan diuji. Sekali terluka, parutnya tinggal sampai bila-bila. Lalu, apa yang terbaik selain tekad mengikut kata hati? Kerana…itu adalah lebih baik daripada merelakan hidup bahagia dalam kepura-puraan.

Komen :-

Perjalanan cerita yang amat menarik…teratur dan penggunaan bahasa yang mudah difahami.

Pengajaran :-

Menilai diri sendiri erti keikhlasan dan nilai sebuah pengorbanan. Bertanya pada diri sendiri sejujurnya…sejauh manakah kita sanggup berkorban apatah lagi jika ia menggugat kebahagian diri sendiri?

Hakikatnya itulah yang dinamakan kehidupan.
Yakinlah pada diri sendiri…pasti ada hikmah yang tersirat daripada sesuatu yang tersurat.

Jumlah Bintang :- *****

Jumaat, 4 September 2009

Novel :- KABUS KASIH



Penulis :- EKA FAHARA

Penerbit :- ALAF 21 SENDIRIAN BERHAD

Jumlah Muka Surat :- 373 HALAMAN

Ringkasan Cerita :-

Cinta Hardina pada Zafril mula berputik sejak mereka sama-sama menuntut dikampus sehingga membawa ke alam perkerjaan. Ibu bapa Hardina mengetahui hubungan mereka dan merestuinya. Setelah Hardina menaruh sepenuh kepercayaan, tiba-tiba Zafril menjalinkan hubungan dengan gadis lain.

Pertemuan Hardina dan Hasif telah merubah segalanya. Sejak terpandangkan Hardina, hasif mula tertarik dengannya. Setiap hari wajah itu sentiasa beraja dihati. Tidurnya tak lena dan makannya tak lalu. Rasa rindu mula menguasai dirinya. Begitu juga dengan Hardina. Apa saja yang dilakukan serba tak kena.

Namun, hati Hardina terluka lagi setelah mendapat tahu yang Hasif sudah pun dimiliki. Hancur luluh hatinya. Dalam masa yang sama, Zafril dan Hasif kembali memburu cinta Hardina. Masing-masing tidak mahu mengalah. Hardina berada di persimpangan delima, keliru untuk membuat pilihan kerana kedua-duanya masih dirindui.

Pengajaran :-

Dalam novel ini, penulis cuba menerapkan nilai-nilai kasih sayang, kejujuran dan keikhlasan. Walaupun Hasif tidak dapat memiliki Hardina. Dia tidak sedikit pun menaruh dendam kepada Zafril. Begitu juga dengan Zafril. Masing-masing dapat menerima keadaan dan akur dengan ketentuan ILAHI. Hasif akur dengan keputusan Hardina menerima Zafril sebgai suami dan menganggap dirinya sebagai kawan biasa.

Jumlah Bintang :- ****