Isnin, 21 Februari 2011

Sudirman - Kerjaya Sebagai Artis

Duta Nyanyian
Tahun 1986, Tourism Malaysia melantiknya sebagai Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia. Semasa Persidangan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) yang ke-35 di Kuala Lumpur, Sudirman mempopularkan lagu Cintai Malaysia, Kenali Malaysia (To Know Malaysia is to Love Malaysia) ciptaan Carol Connors dari Amerika Syarikat. Lagu ini juga menjadi lagu tema semasa kempen Tahun Melawat Malaysia.

Sudirman dilantik sebagai duta bagi pelbagai syarikat terkenal seperti Proton, Malaysia Airlines, Honda Cup dan "honored pioneer card member" dengan Hong Leong.

Konsert di Chow Kit Road
Konsert di Chow Kit Road, Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama di dalam Malaysia Book Of Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Beliau telah berjaya memikat dan memukau hampir 100 ribu warga kota berpusu-pusu membanjiri jalan itu dengan kehebatannya. Lagu yang dinyanyikan oleh beliau ialah Chow Kit Road dan diakhiri dengan lagu patriotik Abadi sambil beliau memakai bendera Malaysian.

Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah gelanggang marhaen. Chow Kit menjadi simbol orang-orang kerdil yang juga peminat Sudirman. Maka konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel dan dewan konsert, sekaligus memberitahu kita Sudirman bukan materialistik.

Penghibur Terbaik Asia

Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia di "Asian Popular Music Awards". Acara anugerah ini diadakan bersama-sama dengan Salem Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London. Beliau merupakan penyanyi pertama Malaysia yang memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh Ledesma), Singapura (Anita Sarawak), China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand. Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris One Thousand Million Smiles dan Send In The Clown dengan menggayakan aksi lucu ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan yang membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil negara lain yang lebih hebat popularitinya.

Lagu One Thousand Smiles dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah. Proses rakaman lagu itu dibuat di Abbey Road Studio, tempat rakaman album bagi penyanyi megastars seperti The Beatles. Lagu ini dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Bangsa-Bangsa Bersatu.

Persembahannya

Sudirman, seorang artis yg mempunyai daya tarikan yg tersendiri. Dia lincah dengan showmanship di pentas, sesuatu yang kurang kelihatan di zamannya, dan memiliki pelbagai koleksi pakaian beraneka fesyen yang digunakan sewaktu persembahan. Sudirman pernah muncul dalam acara penutup Sukan SEA 1989 yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur dengan penampilannya berbeza, beliau mengenakan baju bendera sambil mengibarkan Jalur Gemilang (ketika itu Bendera Malaysia) yang besar.

Semasa Pertandingan Juara Lagu TV3 1987, Sudirman memenangi Anugerah Persembahan Terbaik kerana persembahannya begitu menyayat hati sewaktu mendendangkan lagu Merisik Khabar dengan petikan pemetik api simbolik beliau.

Malah beliau merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan fasih pelbagai bahasa (bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi) serta mengubah lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.

Sepanjang persembahannya, Sudirman diiringi band pengiringnya (The Glue), kumpulan penari (The Girls) dan penyanyi latar (The Giggles). Biarpun sibuk dan sudah dikenali, beliau masih meluangkan masa untuk belajar vokal dari penyanyi klasik terkenal bernama Florence Fong.
Sudirman Bersama The Girl

Sudirman juga seorang yang bijak bekerja. Dia bekerjasama dengan produser, suka berkongsi idea dengan penerbit untuk menghasilkan yang terbaik. Beliau memiliki kreativiti yang amat besar. Dengar saja penghayatan lagu yang dinyanyikannya. Beliau juga amat unik dengan penjiwaan di atas pentas. Bukan saja kerana nyanyian beliau, tapi tingkah lakunya yang sungguh terbuka, bekerja keras, menghormati seni dan rakan-rakannya dikagumi menjadikannya seorang insan istimewa.

Kejayaan Sudirman sebagai penghibur itu juga tidak dapat lari dengan lagu-lagu popular gubahan komposer terkenal seperti Datuk Ahmad Nawab, Ooi Eow Jin, S.Atan, Manan Ngah, Osman Ghani, Kassim Masdor dan M.Nasir, selain lirik puitis oleh Habsah Hassan menerusi luahan rasa sebenar penyanyinya. Habsah Hassan turut menulis skrip untuk Sudirman semasa membuat persembahan rancangan RTM dan majlis makan malam.

Beliau juga aktif di dalam Persatuan Penyanyi dan Pemuzik Tanahair (PAPITA) dan dilantik menjadi Timbalan Presiden PAPITA untuk satu penggal. Semasa hayatnya, Sudirman sangat mengutamakan pemilikan hak cipta. Dia mempertahankan nama dan haknya bagi memastikan tidak ada pihak ketiga mengambil kesempatan.

Beliau mempunyai ramai kenalan rapat, diantaranya dari kalangan wartawan (Bahyah Mahmood, Intan Zabidin, Saodah Ismail, Ku Seman Ku Hussin, Fauziah Samad, Adam Salleh, Tajaiyah Ihsan, Fatimah Hassan, Mokhtar Alias, Juwie, Huzz, Muzlina, Zubairi Zabidin) dan kalangan artis (Noor Kumalasari, Sharifah Aini, Anita Sarawak, Yusni Jaafar, Sarimah, Zaiton Sameon, Ramli MS).

Tiada ulasan: