Selasa, 22 Februari 2011

Sudirman - Penulis dan Pelukis Kartun

Sewaktu hayatnya, selama 10 tahun, Sudirman menjadi kolumnis ruangan ‘Teringat-ingat’ dalam majalah hiburan URTV, terbitan Utusan Melayu. Beliau juga menjadi residen writer di Kumpulan Karangkraf. Tugasnya setiap hari ialah menulis dan melukis untuk majalah-majalah terbitan Karangkraf waktu itu seperti Bacaria, Nona, Media Hiburan, Mingguan Kanak-kanak dan Remaja. Idea itu adalah ideanya sendiri, lukisannya sendiri. Malah beliau turut menulis di Mingguan Malaysia dan menjadi kolumnis di beberapa buah akhbar mingguan tempatan, antaranya dia pernah menemuramah dan menulis riwayat hidup pahit getir perjuangan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba di dalam sebuah akhbar tabloid.

Sejarah Awal Sudirman

Sudirman telah menceritakan kisah-kisah awal hidupnya melalui buku kartun Sejarah Awal Sudirman yang diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf pada tahun 1991. "Berbagai-bagai keterangan mengenai saya telah disiarkan di lipatan majalah dan muka akhbar. Ada yang benar, dan ada yang tidak. Adatlah, apabila orang kedua bercerita, kadang-kadang ada yang terkurang dan ada juga yang terlebih kata. Tetapi buku ini cerita saya dan dari mata pena saya sendiri. Ceritanya tentu akan merantaikan diri saya. Tetapi tidak apa, kerana cerita ini cerita benar tentang diri saya. Buku ini merangkumi hidup saya dari saat kelahiran saya hingga Mei 1972..." LAT, pelukis kartun tanahair yang ulung, merupakan sumber inspirasi beliau.

Dari Dalam... Sudirman
Cerita-cerita ini pertama kali disiarkan melalui ruangan Cetusan Rasa kelolaan Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang terbit seminggu sekali melalui akhbar BACARIA terbitan Karangkraf dari 5 Mei 1983 hingga 7 Ogos 1984. Edisi khas ini dibuat pada bulan Disember 1986 kerana Allahyarham ingin berkongsi luahan dan cerita untuk renungan bersama peminat yang menyayangi beliau.

Taming Si Budak Pintar
Sudirman memenangi Hadiah Pertama dalam Mobil-Malaysian Association of Book Publishers Awards, anugerah bagi novel sastera kanak-kanaknya iaitu Taming Si Budak Pintar pada tahun 1995, yang memuatkan pelbagai cerita kanak-kanak bagi melahirkan kanak-kanak pintar. Anak saudaranya, Johana Era Zainuddin menerima anugerah tersebut bagi pihak beliau dari Datuk Peter Tinggom.

Tiada ulasan: